Kami Lindungi. Kami Prihatin. Kami Berkongsi.
Pilih saiz fon : A+ A-

Latar Belakang Syarikat

Syarikat Takaful Malaysia Berhad (131646-K) atau nama ringkasnya, Takaful Malaysia atau Syarikat ditubuhkan pada tahun 1981 apabila Kerajaan Malaysia menubuhkan pasukan petugas bagi mengkaji kebolehlaksanaan penubuhan sebuah syarikat Insurans Islam di Malaysia. Ini telah secara langsung membawa kepada penubuhan Takaful Malaysia pada 29 November 1984 dan memulakan operasinya pada 22 Julai 1985. Selepas beroperasi lebih daripada satu dekad, Syarikat telah dijadikan sebuah syarikat awam berhad pada 19 Oktober 1995, diikuti dengan penyenaraian sahamnya di Papan Utama (kini dikenali sebagai 'Pasaran Utama') di Bursa Malaysia Securities Berhad pada 30 Julai 1996.

Modal saham Syarikat berjumlah RM196.7 juta yang terdiri daripada 826,792,333 saham biasa dan jumlah aset di peringkat Kumpulan berdiri teguh pada aras RM10.3 bilion setakat 30 September 2019.

Selama lebih tiga puluh tahun, syarikat kami telah menjadi salah satu pengendali Takaful yang terkemuka di Malaysia dengan kedudukan kewangan yang utuh dan kepakaran di dalam bidang pengurusan risiko bagi memenuhi keperluan pelanggan di seluruh 24 pusat perkhidmatan kami.

Organisasi telah berkembang untuk memenuhi keperluan pelanggan melalui kerjasama erat bersama mereka serta menjana pertumbuhan keuntungan yang konsisten bagi membolehkan syarikat memberi pulangan yang tinggi kepada para pemegang saham. Dengan portfolio perniagaan Takaful Keluarga dan Am, keupayaan saluran pengedaran yang pelbagai, perkongsian strategik yang kukuh, produk-produk yang berteraskan pelanggan serta perkhidmatan dan ekuiti jenama yang berkaliber, Takaful Malaysia komited untuk membantu orang ramai mencapai cita-cita mereka untuk masa depan yang cerah dan kedudukan kewangan yang lebih selamat.

Kami telah berjaya menetapkan penanda aras di dalam industri Takaful kepada rakan-rakan dan pesaing kami. Anugerah dan pencapaian kami adalah pengiktirafan daripada pasaran dan kami berbangga dengan pasukan yang bekerja begitu keras untuk memastikan anugerah-anugerah ini di dalam gengaman kami. Sebagai perintis dalam industri, kami merupakan pengendali Takaful pertama dan satu-satunya yang telah secara konsisten memberi ganjaran Pulangan Tunai kepada pelanggan Takaful Am kami sekiranya tiada sebarang tuntutan di buat sepanjang tempoh perlindungan.

Pemegang saham utama kami ialah BIMB Holdings Berhad (BHB) dengan kepentingan sebanyak 59.45% di Takaful Malaysia. Di bawah Kumpulan BHB, BHB juga memiliki bank Islam pertama di Malaysia iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam). Syarikat induk BHB adalah Lembaga Tabung Haji dengan pegangan saham semasa sebanyak 53.82%. Kumpulan BHB merupakan salah satu pemangkin dalam membangunkan sektor kewangan Islam di Malaysia.

Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA), yang mula beroperasi pada 30 Jun 2013, telah mengubah landskap industri insurans. Akta baru ini memerlukan pengendali takaful berlesen komposit menukar perniagaan mereka menjadi lesen tunggal dan membahagikan perniagaan Takaful Keluarga dan Am di bawah dua entiti perniagaan yang berlainan.

Dengan penstrukturan semula, Syarikat Takaful Malaysia Berhad kini dikenali sebagai Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (STMKB) yang akan terus menjalankan perniagaan Takaful Keluarga. Sebuah syarikat baru dengan nama Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad (STMAB), sebuah subsidiari milik penuh STMKB akan mengendalikan perniagaan Takaful Am.

Inisiatif di atas adalah selaras dengan langkah strategik kami untuk mencapai objektif bagi mengekalkan rangkaian perniagaan kami serta memudahkan perluasan rangkaian perniagaan baharu untuk jangka panjang.

Kami optimistik terhadap perubahan ini kerana ia akan memberi peluang pertumbuhan yang lebih besar dan menyumbang secara positif kepada prospek kedua-dua syarikat melalui sinergi yang lebih hebat dan pelaksanaan keseluruhan strategi yang efektif untuk menerajui pembangunan industri takaful. ​​

​​​​​​​​​​​​​​​