Takaful Malaysia
Takaful Malaysia Lantik Dato’ Charon Mokhzani sebagai Pengerusi Kumpulan
01 Aug 2025

Takaful Malaysia mengumumkan pelantikan Dato’ Charon Wardini Mokhzani sebagai Pengerusi Kumpulan yang baharu, berkuat kuasa 1 Jun 2025. Dato’ Charon Mokhzani menggantikan Dato’ Mohammed Hussein, yang akan bersara pada 31 Mei 2025 setelah menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh dedikasi sejak tahun 2020.

 

Pelantikan Dato’ Charon Mokhzani sebagai Pengerusi Kumpulan merupakan satu pencapaian penting bagi Takaful Malaysia, sekali gus memperkukuh keupayaan institusi kewangan Islam ini untuk terus menerajui ke arah pertumbuhan dan kepimpinan mampan dalam industri insurans dan takaful.

 

Mohd Azman Sulaiman, Ahli Lembaga Pengarah Takaful Malaysia Keluarga mewakili Lembaga Pengarah mengalu-alukan pelantikan Dato’ Charon Mokhzani sebagai Pengerusi Kumpulan Takaful Malaysia. Beliau menzahirkan keyakinan Ahli Lembaga Pengarah terhadap kepimpinan Dato’ Charon Mokhzani serta keupayaan beliau untuk memimpin Kumpulan ke arah pertumbuhan dan kecemerlangan yang berterusan.

 

“Kami amat berbesar hati menyambut kehadiran Dato’ Charon Mokhzani sebagai Pengerusi Kumpulan. Pengalaman luas beliau dalam sektor perkhidmatan kewangan, dasar awam, dan undang-undang akan menjadi faktor penting dalam membentuk hala tuju masa depan Takaful Malaysia. Kami yakin bahawa kepimpinan beliau akan terus memperkukuhkan komitmen kami terhadap kecemerlangan, inovasi, dan penciptaan nilai untuk semua pihak berkepentingan,” kata Mohd Azman Sulaiman.

 

Dato’ Charon Mokhzani merupakan seorang pemimpin berpengalaman dengan rekod pencapaian cemerlang dalam memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan di sektor korporat, pelaburan, dan sektor berkaitan kerajaan. Kerjaya beliau merangkumi pelantikan jawatan penting sebagai Pengerusi Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank), Ketua Pegawai Eksekutif Pengasas Institut Penyelidikan Khazanah, Pengarah Eksekutif Khazanah Nasional Berhad, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank Berhad, serta Pengerusi Principal Asset Management Berhad dan Rakan Pengurusan di firma guaman Zaid Ibrahim & Co.

 

Selain pencapaian dalam sektor korporat, Dato’ Charon Mokhzani turut menyumbang khidmat dalam bidang kemasyarakatan dan pendidikan melalui pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Tuanku Fauziah, Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis, dan Kuala Lumpur Business Club, serta pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia.

"
Kami amat berbesar hati menyambut kehadiran Dato’ Charon Mokhzani sebagai Pengerusi Kumpulan. Pengalaman luas beliau dalam sektor perkhidmatan kewangan, dasar awam, dan undang-undang akan menjadi faktor penting dalam membentuk hala tuju masa depan Takaful Malaysia

 

Dato’ Charon Mokhzani memiliki latar belakang akademik yang cemerlang, dengan kelulusan dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Balliol College, Universiti Oxford, serta dalam bidang undang-undang dari School of Oriental and African Studies, Universiti London. Beliau juga merupakan seorang Chartered Banker, Felow Asian Institute of Chartered Bankers, peguam bela yang tidak aktif di Middle Temple, serta peguam cara dan peguam bela yang ditauliahkan di Mahkamah Tinggi Malaya.

 

Nor Azman Zainal, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, berkata, “Kebolehan dan kepimpinan strategik beliau, khususnya dalam mengemudi persekitaran regulatori yang kompleks dan merangka inisiatif berkaitan dasar, telah menerima pengiktirafan meluas dalam landskap korporat Malaysia. Kami menantikan kerjasama erat bersama Dato’ Charon Mokhzani apabila kami memulakan fasa seterusnya dalam perjalanan Kumpulan. Visi dan kepimpinan beliau akan menjadi pemacu utama kepada pelaksanaan inisiatif strategik Kumpulan, peningkatan daya saing serta mengukuhkan kedudukan kami sebagai institusi kewangan Islam terkemuka di Malaysia.”

Takaful Malaysia Lantik Dato’ Charon Mokhzani sebagai Pengerusi Kumpulan
Takaful Malaysia Sumbang RM150,000 untuk Projek Braille
Takaful Malaysia Sumbang RM500,000 untuk Misi Bantuan Banjir JAKIM