Takaful Malaysia (Kumpulan), pengendali takaful keluarga pertama di Malaysia serta pengendali takaful am kedua terbesar negara, terus menunjukkan ketahanan serta mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju industri takaful. Kumpulan itu komited meningkatkan daya saing dan melaksanakan inisiatif strategik untuk memberi nilai mampan kepada pelanggan, pemegang saham dan rakan niaga.
Kumpulan itu mencatatkan prestasi memberangsangkan pada separuh pertama tahun ini apabila pendapatan takaful meningkat 9% tahun ke tahun kepada RM1.85 bilion, iaitu kenaikan RM159.2 juta berbanding RM1.69 bilion pada tahun 2024. Setakat Jun 2025, Takaful Malaysia mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju pasaran dengan 28% pegangan dalam segmen takaful keluarga dan 23% dalam segmen takaful am. Kumpulan itu kekal fokus memperluas bahagian pasaran dalam kedua-dua segmen untuk menjamin kelangsungan pendapatan jangka panjang.
“Prestasi, inovasi dan kedudukan konsisten Takaful Malaysia dalam industri takaful membuktikan keupayaan kami untuk menyesuaikan diri dan terus berkembang walaupun berdepan dengan keadaan pasaran yang mencabar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal. “Fokus kami kekal pada usaha mencipta nilai pemegang saham jangka panjang di samping menyediakan penyelesaian yang bermakna kepada pelanggan. Dengan mempertahankan serta memperluas kedudukan dalam pasaran, kami berhasrat mengekalkan keyakinan pelabur dan memastikan nilai pasaran yang kukuh. Meskipun berdepan cabaran pasaran, kami yakin dengan kemampuan untuk terus menawarkan penyelesaian perlindungan patuh Syariah serta memberikan nilai jangka panjang kepada pelanggan, rakan niaga dan masyarakat.”
Sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan, Kumpulan itu meluaskan portfolionya melangkaui kekuatan terasnya dalam produk berkaitan kredit dan takaful motor menerusi perlindungan hayat individu. Langkah berpandangan jauh ini sejajar dengan aliran kehidupan lestari dan meletakkan Takaful Malaysia pada kedudukan strategik untuk meraih peluang pertumbuhan dalam segmen pelanggan baharu.
Takaful Malaysia mengembangkan perniagaan takaful amnya selain daripada perlindungan motor. Dengan hanya empat pemain utama dalam segmen ini, Kumpulan itu melihat peluang ketara untuk mengukuhkan kedudukan dan memperoleh kelebihan daya saing melalui tawaran penyelesaian takaful bukan motor yang komprehensif termasuk kebakaran, solar, kemalangan diri dan perlindungan aset lain.
Kumpulan itu turut memperluas pasaran runcit keluarga dengan memberi tumpuan kepada perlindungan hayat dan penyakit kritikal, yang menawarkan potensi besar memandangkan kadar penembusan masih rendah iaitu sekitar 21%. Bersandarkan momentum yang kukuh, Takaful Malaysia mencatat pertumbuhan ketara dalam segmen caruman berkala sejak dua tahun lalu. Seiring dengan pengembangan strategik, Takaful Malaysia menerusi platform digitalnya, Kaotim, menawarkan pelan perlindungan dalam talian yang menyeluruh, kompetitif dan mampu milik untuk rakyat Malaysia.
Satu pencapaian besar buat Takaful Malaysia apabila memeterai kerjasama eksklusif bankatakaful selama 20 tahun dengan RHB Islamic Bank, antara kerjasama jangka panjang yang paling signifikan dalam industri takaful Malaysia. Menerusi perjanjian ini, Takaful Malaysia mengedarkan produk takaful keluarga dan am melalui rangkaian cawangan RHB yang meluas. Perkongsian ini mengukuhkan lagi kedudukan Takaful Malaysia sebagai peneraju dalam bankatakaful serta menyediakan asas kukuh bagi pertumbuhan pendapatan dalam tempoh dua dekad akan datang.
Takaful Malaysia baru-baru ini turut mencadangkan Program Sukuk Wakalah Tier 2 bernilai RM1 bilion bagi memperkukuh kedudukan kewangan dan kapasiti pertumbuhan. Inisiatif ini mengukuhkan asas modal Kumpulan, membolehkan pelaburan berterusan dalam pendigitalan dan infrastruktur teknologi serta menyokong aspirasi Takaful Malaysia untuk muncul sebagai peneraju pasaran dalam penyelesaian takaful digital dan pengalaman pelanggan.
“Inisiatif ini mencerminkan pendekatan proaktif kami dalam memastikan Takaful Malaysia berdaya tahan. Dengan melabur dalam inovasi, memperluas rangkaian pengedaran dan mempelbagaikan produk yang ditawarkan, Takaful Malaysia berada pada kedudukan kukuh untuk menjana pertumbuhan pendapatan yang mampan serta mencipta nilai jangka panjang kepada pemegang saham. Pada masa yang sama, tumpuan berterusan untuk mengukuhkan bahagian pasaran akan menjadi pemacu utama dalam menyokong keuntungan mampan serta mengekalkan sentimen pasaran positif,” tambah Nor Azman Zainal.
Dengan kedudukan kewangan yang kukuh, asas perniagaan yang teguh dan strategi pertumbuhan yang jelas, Takaful Malaysia berada pada landasan tepat untuk merebut peluang pada tahun kewangan 2025, 2026 dan seterusnya. Kumpulan itu kekal komited memberikan pulangan mampan kepada pemegang saham sambil memperkukuh peranannya sebagai pengendali utama penyelesaian takaful keluarga serta pengendali takaful am kedua terbesar negara.