Takaful Malaysia
Takaful Malaysia Lapor Pertumbuhan Keuntungan Kasar 8%, Catat Pendapatan RM2.75 Bilion untuk 9B TK2025; Isytihar Dividen Interim 18.5 Sen
 
25 Nov 2025

Takaful Malaysia hari ini mengumumkan prestasi stabil bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025. Kumpulan mengekalkan trajektori pertumbuhan dengan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM468.0 juta, peningkatan 8% berbanding RM435.2 juta pada tahun sebelumnya. Prestasi ini disokong oleh pengembangan perniagaan yang berterusan, sekali gus meningkatkan pendapatan takaful kepada RM2.75 bilion, naik RM86.1 juta berbanding RM2.66 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

 

Nor Azman Zainal, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, berkata, “Prestasi sembilan bulan kami memberi isyarat jelas bahawa Takaful Malaysia terus menerajui industri dengan kekuatan dan disiplin. Pendapatan dan keuntungan sebelum zakat dan cukai mencatatkan pertumbuhan berdaya tahan, mengatasi prestasi industri walaupun berdepan pasaran yang mencabar. Momentum ini mencerminkan keteguhan strategi kami, kualiti portfolio kami dan fokus berterusan terhadap kecemerlangan operasi.”

 

Keputusan kewangan sembilan bulan yang stabil ini mencerminkan ketahanan serta pencapaian strategik segmen perniagaan utama Kumpulan dalam bankatakaful, perbendaharaan, faedah pekerja dan takaful am. Pertumbuhan disokong oleh permintaan berterusan, peningkatan kesedaran terhadap perlindungan kewangan serta penggunaan penyelesaian digital yang semakin meluas.

 

Kumpulan mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 18.5 sen sesaham biasa, berjumlah RM161.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, peningkatan 8.8% berbanding 17.0 sen yang diumumkan pada tahun sebelumnya. Ini mencerminkan kedudukan kesolvenan Kumpulan yang kukuh serta komitmen berterusan untuk memberikan pulangan mampan kepada para pemegang saham.

"
Prestasi sembilan bulan kami memberi isyarat jelas bahawa Takaful Malaysia terus menerajui industri dengan kekuatan dan disiplin. Pendapatan dan keuntungan sebelum zakat dan cukai mencatatkan pertumbuhan berdaya tahan, mengatasi prestasi industri walaupun berdepan pasaran yang mencabar.

Takaful Malaysia telah melengkapkan terbitan sulung Sukuk Subordinat Tahap Kedua berjumlah RM500 juta, satu pencapaian penting dalam memperkukuh struktur modal Kumpulan. Diterbitkan di bawah Program Sukuk Subordinat Tahap Kedua bernilai RM1.0 bilion, instrumen ini diiktiraf sebagai modal Tahap Kedua di bawah Rangka Kerja Modal Berasaskan Risiko Bank Negara Malaysia untuk Pengendali Takaful, sekali gus meningkatkan kedudukan modal Kumpulan. Sukuk tersebut, diterbitkan pada 29 September 2025 dengan kadar keuntungan 3.83% setahun, menerima penarafan AA3 daripada RAM Rating Services Berhad.

 

“Proses pembinaan buku menunjukkan permintaan yang kukuh dengan pesanan melebihi RM2.0 bilion, iaitu lebihan langganan lebih empat kali ganda daripada lebih dua puluh pelabur institusi dan pengurus aset. Ini mencerminkan keyakinan pasaran terhadap kekuatan kewangan Kumpulan,” tambah Nor Azman.

 

Melangkah ke hadapan, Takaful Malaysia akan terus menumpukan inovasi berteraskan pelanggan, pemantapan keupayaan digital serta integrasi ESG. Platform digital Kaotim juga menunjukkan perkembangan positif dengan memperluaskan capaian melalui penawaran perlindungan dalam talian yang mudah diakses, mengukuhkan lagi kedudukan Kumpulan dalam pasaran runcit di samping kedudukan bankatakaful yang utuh.

 

Nor Azman berkata, “Prestasi stabil ini mencerminkan keberkesanan pelaksanaan strategi kami. Kami kekal komited menjana nilai mampan, mencapai kecemerlangan pelanggan serta memperkukuh kedudukan dalam industri takaful dan insurans.”

 

“Berasaskan kekuatan perniagaan teras kami, Kumpulan berada pada kedudukan kukuh untuk mengharungi baki tahun ini dengan tangkas dan yakin, sekali gus menjana nilai jangka panjang yang mampan kepada pihak berkepentingan,” kata Nor Azman.

Takaful Malaysia Lapor Pertumbuhan Keuntungan Kasar 8%, Catat Pendapatan RM2.75 Bilion untuk 9B TK2025; Isytihar Dividen Interim 18.5 Sen
Takaful Malaysia Pacu Pertumbuhan Jangka Panjang dengan Inisiatif Strategik
Titipan Kasih Harian Metro Bersama Takaful Malaysia Semarakkan Semangat Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2025