Takaful Malaysia
Takaful Malaysia Catat Pertumbuhan Keuntungan Bersih 12% pada Suku Ketiga TK2026, Isytihar Dividen 20.5 Sen Sesaham
 
26 Nov 2026

Takaful Malaysia mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (“9B TK2026”), dengan hasil takaful meningkat 14% kepada RM3.14 bilion daripada RM2.75 bilion dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Keuntungan sebelum zakat dan cukai (“PBZT”) meningkat 6% kepada RM497.8 juta, manakala keuntungan bersih meningkat 8% tahun ke tahun, mencerminkan pertumbuhan keuntungan yang berterusan dalam persekitaran operasi yang mencabar.

 

Kumpulan turut mencatatkan keuntungan suku tahunan tertinggi dalam tempoh lima tahun, dengan keuntungan bersih suku ketiga mencecah RM129 juta, meningkat 12% berbanding suku yang sama tahun lalu. Hasil takaful suku ketiga meningkat 28% kepada RM1.16 bilion daripada RM902.8 juta, sekali gus mengukuhkan momentum pertumbuhan Kumpulan.

 

Pertumbuhan hasil disokong oleh peningkatan pelepasan keuntungan daripada sumbangan dan caruman jangka pendek dalam perniagaan takaful am dan manfaat pekerja, serta peningkatan jumlah caj yang dikenakan bagi perlindungan takaful. Tidak termasuk bahagian keuntungan peserta, keputusan perkhidmatan takaful Kumpulan bagi 9B TK2026 meningkat sebanyak RM192.6 juta, mencerminkan prestasi perniagaan jangka pendek yang lebih kukuh.

 

Kumpulan mengisytiharkan dividen interim sebanyak 20.5 sen sesaham, sekali gus mencatatkan rekod dalam tempoh 10 tahun dan mengatasi rekod sebelumnya sebanyak 20 sen sesaham pada tahun  2019. Pengisytiharan ini mencerminkan kedudukan kewangan Kumpulan yang kukuh serta komitmennya untuk memberikan pulangan kepada pemegang saham. Dividen ini juga 11% lebih tinggi daripada 18.5 sen sesaham yang diisytiharkan tahun lalu dan mencatatkan hasil dividen melebihi 6%, sekali gus mengukuhkan kedudukan Takaful Malaysia sebagai syarikat yang menawarkan hasil dividen menarik.

 

Nor Azman Zainal, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, berkata:

 

“Prestasi kewangan bagi tempoh sembilan bulan ini mencerminkan kekuatan perniagaan teras kami, pelaksanaan strategi yang berdisiplin serta tumpuan berterusan kami untuk memberikan nilai kepada pemegang saham. Pencapaian keuntungan suku tahunan tertinggi dalam tempoh lima tahun, di samping pertumbuhan hasil yang berterusan dan kedudukan modal yang kukuh, menunjukkan daya tahan perniagaan serta keupayaan kami mengekalkan prestasi dalam persekitaran operasi yang mencabar.”

 

“Keutamaan kami tetap jelas, iaitu memperkukuh daya saing, menjana pertumbuhan mampan dan mewujudkan nilai jangka panjang untuk pemegang saham. Meskipun industri terus berdepan cabaran pasaran dan ketidaktentuan luaran, kami kekal yakin terhadap keupayaan kami untuk mengharungi perubahan landskap industri. Rekod dividen tertinggi sebanyak 20.5 sen sesaham ini mencerminkan komitmen kami untuk memberikan pulangan kepada pemegang saham, sambil mengekalkan keupayaan kewangan bagi menyokong peluang perniagaan pada masa hadapan.”

 

Prestasi Kukuh dalam Perniagaan Teras

 

Perniagaan takaful keluarga mencatatkan peningkatan hasil takaful sebanyak 14% tahun ke tahun kepada RM1.85 bilion, disokong oleh pelepasan caruman yang lebih tinggi daripada perniagaan manfaat pekerja dan peningkatan jumlah caj yang dikenakan bagi perlindungan takaful.

 

Perniagaan takaful am turut mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan, dengan hasil takaful meningkat 17% kepada RM1.23 bilion daripada RM1.05 bilion setahun sebelumnya, didorong terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen motor dan kebakaran. Hasil takaful suku ketiga bagi perniagaan ini meningkat 20% tahun ke tahun kepada RM424.9 juta.

 

Prestasi ini mencerminkan kekuatan perniagaan sedia ada dan portfolio Kumpulan yang seimbang dalam menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang.

"
Prestasi kewangan bagi tempoh sembilan bulan ini mencerminkan kekuatan perniagaan teras kami, pelaksanaan strategi yang berdisiplin serta tumpuan berterusan kami untuk memberikan nilai kepada pemegang saham. Pencapaian keuntungan suku tahunan tertinggi dalam tempoh lima tahun, di samping pertumbuhan hasil yang berterusan dan kedudukan modal yang kukuh, menunjukkan daya tahan perniagaan serta keupayaan kami mengekalkan prestasi dalam persekitaran operasi yang mencabar.

Memperkukuh Rangkaian Pengedaran dan Memperluas Peluang Pertumbuhan

 

Sebagai peneraju industri insurans dan takaful, Takaful Malaysia telah membina portfolio perniagaan yang pelbagai merangkumi bankatakaful, perniagaan runcit takaful keluarga, manfaat pekerja serta takaful am yang mempunyai gabungan seimbang antara perniagaan motor dan bukan motor. Melalui strategi pelbagai saluran, Kumpulan terus memperkukuh keupayaan pengedaran sedia ada dan memperluas saluran alternatif bagi menjangkau lebih ramai pelanggan serta merebut peluang pertumbuhan baharu.

 

Perniagaan runcit takaful keluarga yang diperkenalkan pada tahun 2022 menjadi tumpuan pertumbuhan utama Kumpulan untuk memanfaatkan peluang dalam pasaran takaful individu Malaysia yang besar namun kadar penembusannya masih rendah. Strategi ini terus menunjukkan perkembangan positif, dengan perniagaan takaful keluarga berasaskan caruman berkala mencatatkan pertumbuhan melebihi 30%.

 

Kumpulan turut memperluas keupayaan pengedaran langsung kepada pengguna melalui Kaotim dan rangkaian cawangannya, sekali gus memudahkan akses dan memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan untuk mendapatkan perlindungan takaful. Pengenalan MediAsas yang dirancang pada awal tahun 2027 dijangka memperkukuh lagi penawaran produk Kumpulan dengan memperluas akses kepada perlindungan perubatan mampu milik.

 

Bagi perniagaan takaful am, Kumpulan akan terus memanfaatkan kekuatan perniagaan motor dan kebakaran yang sedia ada untuk meningkatkan penembusan pasaran serta merebut peluang dalam segmen runcit dan komersial.

 

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada strategi menyeluruh Takaful Malaysia untuk mempelbagaikan rangkaian pengedaran, memperkukuh hubungan dengan pelanggan dan membina sumber pertumbuhan mampan pada masa hadapan.

 

Nor Azman menambah:

 

“Kedudukan pasaran kami yang kukuh menjadi asas bagi fasa pembangunan seterusnya. Kami memanfaatkan kekuatan sedia ada dalam bankatakaful sambil mempergiat usaha merebut peluang pertumbuhan dalam perniagaan runcit takaful keluarga, pengedaran langsung dan takaful am.

 

“Fokus kami bukan sekadar mengembangkan perniagaan, tetapi memastikan pertumbuhan itu mampan dan menguntungkan. Dengan memperluas keupayaan pengedaran, menjangkau lebih ramai pelanggan dan mengekalkan disiplin kewangan, kami berhasrat membina Takaful Malaysia yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing.

 

“Kami kekal yakin terhadap kekuatan asas Kumpulan dan keupayaan kami mengharungi perubahan pasaran sambil terus menjana nilai yang berkekalan untuk pemegang saham, pelanggan dan rakan niaga.”

Takaful Malaysia Catat Pertumbuhan Keuntungan Bersih 12% pada Suku Ketiga TK2026, Isytihar Dividen 20.5 Sen Sesaham
Takaful Malaysia Menerajui Inisiatif Pemuliharaan Pantai di Desaru
Takaful Malaysia Catat Prestasi Berdaya Tahan pada Suku Kedua TK2026 dengan Hasil Takaful RM2.0 Bilion dan Keuntungan Sebelum Zakat dan Cukai RM305.6 Juta