Takaful Malaysia
Takaful Malaysia Catat Prestasi Suku Pertama Tertinggi dengan Keuntungan Sebelum Zakat dan Cukai RM158.2 Juta Disokong Pertumbuhan Perniagaan yang Berdaya Tahan
 
28 Mei 2026

Takaful Malaysia mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh dan berdaya tahan bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (“S1 TK2026”), dengan merekodkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (“PBZT”) sebanyak RM158.2 juta — PBZT suku pertama tertinggi dalam sejarah Kumpulan.

 

Pencapaian tersebut mewakili peningkatan sebanyak 5% berbanding RM151.1 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Keuntungan selepas zakat dan cukai meningkat 6% kepada RM100.0 juta daripada RM94.6 juta sebelumnya, mencerminkan pelaksanaan berdisiplin Kumpulan, asas pendapatan yang pelbagai, pengurusan risiko yang berhemah, serta daya tahan operasi yang berterusan dalam menghadapi persekitaran operasi yang semakin kompetitif dan sentiasa berkembang.

 

Nor Azman Zainal, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, berkata, “Prestasi rekod suku pertama kami mencerminkan kekuatan asas Takaful Malaysia, daya tahan model perniagaan kami yang pelbagai, serta kepercayaan berterusan pelanggan terhadap jenama kami. Walaupun berdepan landskap operasi yang lebih mencabar, kami kekal fokus terhadap pelaksanaan yang berdisiplin, ketangkasan operasi, dan penyampaian nilai mampan merentasi semua segmen perniagaan teras kami.”

 

Tambah Nor Azman, “Pertumbuhan keuntungan yang berterusan membuktikan keberkesanan strategi jangka panjang kami yang disokong oleh amalan pengunderaitan yang berhemat, pengurusan pelaburan yang kukuh, penyelesaian berteraskan pelanggan, serta inisiatif transformasi digital yang berterusan. Kami kekal komited untuk terus memperkukuh kedudukan pasaran sambil mencipta nilai mampan untuk semua pihak berkepentingan.”

 

PRESTASI BERDAYA TAHAN MERENTASI SEGMEN PERNIAGAAN TERAS

 

Segmen Takaful Keluarga mencatatkan hasil takaful sebanyak RM568.2 juta bagi S1 TK2026, disokong oleh struktur caj perlindungan yang lebih mampu milik dan kompetitif bagi meningkatkan akses pasaran serta capaian pelanggan.

 

Sementara itu, segmen Takaful Am terus mengekalkan momentum kukuh dengan hasil takaful meningkat 14.2% kepada RM392.2 juta berbanding RM343.5 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu. Pertumbuhan tersebut didorong terutamanya oleh sumbangan yang lebih kukuh daripada segmen Takaful Motor dan Kebakaran, mencerminkan permintaan yang mampan serta kedudukan pasaran Kumpulan yang kukuh.

 

Kumpulan turut merekodkan prestasi pelaburan yang lebih baik sepanjang suku tersebut. Pendapatan pelaburan bersih bagi segmen Takaful Am meningkat kepada RM18.8 juta daripada RM17.3 juta dalam suku yang sama tahun lalu, didorong oleh keuntungan lebih tinggi daripada pelaburan Sukuk dan keuntungan direalisasi daripada pelupusan aset pelaburan.

 

Selain itu, pendapatan pelaburan dalam segmen Takaful Keluarga meningkat sebanyak RM67.8 juta tahun ke tahun, terutamanya disumbangkan oleh kerugian nilai saksama yang lebih rendah ke atas sekuriti ekuiti, mencerminkan keadaan pasaran yang lebih baik serta pengurusan portfolio yang berhemat.

"
Prestasi rekod suku pertama kami mencerminkan kekuatan asas Takaful Malaysia, daya tahan model perniagaan kami yang pelbagai, serta kepercayaan berterusan pelanggan terhadap jenama kami. Walaupun berdepan landskap operasi yang lebih mencabar, kami kekal fokus terhadap pelaksanaan yang berdisiplin, ketangkasan operasi, dan penyampaian nilai mampan merentasi semua segmen perniagaan teras kami.

KUKUH UNTUK PERTUMBUHAN MAMPAN JANGKA PANJANG

 

“Tonggak perniagaan kami yang pelbagai merangkumi bankatakaful, manfaat pekerja, perbendaharaan dan takaful am terus memberikan daya tahan, kestabilan serta peluang pertumbuhan mampan kepada Kumpulan,” kata Nor Azman.

 

“Pada masa sama, kami terus memberi tumpuan kepada pengukuhan infrastruktur digital, keupayaan operasi serta pengalaman pelanggan bagi menyokong pertumbuhan masa hadapan, inovasi dan kecekapan operasi.”

 

Beliau menambah bahawa melalui Kaotim, platform dan jenama digital Kumpulan, Takaful Malaysia terus memperluas akses kepada penyelesaian perlindungan yang mampu milik dan mudah diakses, di samping memperkukuh penglibatan pelanggan menerusi inisiatif berteraskan teknologi dan pendigitalan.

 

Melangkah ke hadapan, Takaful Malaysia kekal komited untuk mencapai pertumbuhan mampan jangka panjang sambil memperkukuh agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (“ESG”). Kumpulan akan terus memperkukuh rangka kerja tadbir urus, keupayaan digital, daya tahan operasi dan strategi berteraskan pelanggan dalam mencipta nilai mampan kepada pelanggan, pemegang saham dan semua pihak berkepentingan.

Takaful Malaysia Catat Prestasi Suku Pertama Tertinggi dengan Keuntungan Sebelum Zakat dan Cukai RM158.2 Juta Disokong Pertumbuhan Perniagaan yang Berdaya Tahan
MTA Lancar Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2025 dan Laporan Kemampanan untuk Takaful
Takaful Malaysia Rai Dua Pemenang Hadiah Utama Kempen Mini Worries, Great Prizes