Takaful Malaysia mencatatkan peningkatan 40% dalam pendapatan sebanyak RM892.2 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024, berbanding RM635.3 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, iaitu peningkatan ketara sebanyak RM256.9 juta. Peningkatan pendapatan ini didorong oleh caruman yang lebih tinggi daripada perniagaan takaful am dan peningkatan dalam perlindungan takaful untuk perniagaan takaful keluarga.
Nor Azman Zainal, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, berkata, “Kami telah mencapai prestasi yang memberangsangkan dan keputusan kewangan yang berdaya tahan bagi suku pertama tahun ini. Kami mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM150.3 juta bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2024, meningkat sebanyak 16% berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya sebanyak RM129.6 juta. Ini disebabkan oleh keuntungan yang lebih tinggi yang disumbangkan oleh perniagaan takaful am dan margin perkhidmatan kontraktual (“CSM”) dalam tempoh tinjauan. Sebagai langkah strategik untuk memperkukuhkan kedudukan dalam industri insurans dan takaful, kami terus memberi tumpuan dengan memanfaatkan kedudukan kami yang kukuh dalam perniagaan bankatakaful, perbendaharaan, manfaat pekerja dan takaful am, serta mempelbagaikan portfolio perniagaan kami ke pasaran runcit untuk mengekalkan trajektori pertumbuhan kami.”
Keuntungan Takaful Malaysia selepas zakat dan cukai meningkat sebanyak 9% untuk suku tahun yang dikaji kepada RM102.3 juta daripada RM93.9 juta pada suku tahun yang sama tahun lalu.
“Perniagaan takaful keluarga kami menjana pendapatan takaful sebanyak RM449.6 juta pada suku yang ditinjau, meningkat 57% berbanding RM286.5 juta pada tempoh yang sama tahun lepas, terutamanya disebabkan oleh pendapatan takaful yang lebih tinggi untuk perkhidmatan takaful yang disediakan. Cabang takaful am kami, Takaful Malaysia Am, mencatatkan pendapatan takaful sebanyak RM350.4 juta untuk suku pertama tahun 2024, meningkat 20% berbanding RM291.4 juta yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lepas. Pendapatan takaful yang meningkat adalah disebabkan oleh caruman yang lebih tinggi untuk perniagaan takaful am kami,” kata Nor Azman Zainal.
Mengenai pendapatan pelaburan bersih, Kumpulan mencatatkan RM158.7 juta, yang meningkat sebanyak RM36.8 juta daripada RM121.9 juta yang dicatatkan dalam suku yang sama pada tahun sebelumnya. Ini disebabkan oleh peningkatan dalam pendapatan keuntungan daripada pelaburan pendapatan tetap hasil daripada peningkatan portfolio pelaburan dan keuntungan nilai saksama yang lebih tinggi ke atas pelaburan.
Pada Mesyuarat Agung Tahunan (“AGM”) Kumpulan ke-39 yang diadakan pada 23 Mei 2024, Nor Azman Zainal menekankan bahawa, selain mengekalkan perniagaan teras Kumpulan dalam bankatakaful, perbendaharaan, manfaat pekerja dan takaful am, Takaful Malaysia juga akan menumpukan kepada pelaburan dalam teknologi dan inovasi digital serta memperluas perniagaan takaful am secara taktikal selain daripada segmen Motor sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhannya. Tambahan pula, Nor Azman Zainal berkata bahawa Takaful Malaysia akan memperkukuhkan agenda kelestariannya dan berusaha untuk mencapai pertumbuhan yang mampan melalui penawaran produk dan perkhidmatannya, di samping melabur dalam pembangunan pekerja untuk menarik, membangunkan, dan mengekalkan bakat berkualiti.
“Kami berada pada landasan yang betul dalam merealisasikan strategi perniagaan kami untuk memberikan nilai kepada para pemegang kepentingan dan memperkukuhkan kedudukan kami dalam industri. Strategi kami untuk mempelbagaikan portfolio perniagaan dan mengukuhkan kedudukan kami dalam pasaran runcit dengan memperkenalkan Kaotim, sebuah platform digital dan jenama yang diuruskan oleh Takaful Malaysia yang menawarkan pelan perlindungan yang lebih mampu milik dan mudah diakses, telah diterima baik di pasaran dan memberikan hasil yang positif,” kata Nor Azman Zainal.
“Kami terus kekal berdaya saing melalui strategi pasaran runcit kami untuk mendapat peluang pertumbuhan dalam industri insurans dan takaful. Kami akan menawarkan pelbagai pelan perlindungan yang komprehensif pada harga yang kompetitif sebagai pendorong utama pertumbuhan. Selain itu, kami komited kepada agenda digital kami melalui integrasi digitalisasi dan teknologi untuk mengoptimumkan operasi perniagaan kami serta meningkatkan pengalaman pelanggan yang penting bagi kelestarian perniagaan kami pada masa hadapan,” rumus Nor Azman Zainal.