Takaful Malaysia mencatatkan hasil operasi pecah rekod sebanyak RM3,764.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, peningkatan lebih tinggi sebanyak 18% berbanding RM3,179.0 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya. Peningkatan hasil operasi Kumpulan ini adalah disebabkan oleh jualan yang lebih tinggi daripada perniagaan takaful keluarga dan takaful am.
Caruman kasar Takaful Malaysia meningkat 19% kepada RM3,333.5 juta daripada RM2,797.7 juta yang dicatatkan pada 2021, manakala keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) bagi tahun dalam tinjauan meningkat sebanyak 14% kepada RM500.0 juta berbanding RM438.7 juta pada tahun kewangan sebelumnya. Peningkatan dalam PBZT Kumpulan adalah disebabkan oleh pendapatan yuran wakalah bersih yang lebih tinggi.
Perniagaan takaful keluarga Kumpulan menjana caruman perolehan kasar sebanyak RM2,176.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, 15% lebih tinggi berbanding RM1,887.4 juta pada 2021, disebabkan oleh jualan yang lebih tinggi daripada produk berkaitan kredit. Perniagaan takaful am Kumpulan merekodkan caruman perolehan kasar sebanyak RM1,025.5 juta bagi tahun dalam tinjauan, 17% lebih tinggi berbanding RM878.7 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, disebabkan oleh kelas perniagaan kebakaran dan motor.
Nor Azman Zainal, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, berkata, “Walaupun beroperasi dalam persekitaran pasaran yang mencabar akibat normalisasi ekonomi di mana aktiviti perniagaan dan sosial diteruskan ke pasca pandemik, kami berjaya mengekalkan operasi perniagaan dan mencapai pencapaian baharu dengan catatan rekod terbaik RM3.3 bilion dalam jumlah caruman kasar dan RM500 juta keuntungan sebelum zakat dan cukai pada 2022. Prestasi cemerlang kami telah mengukuhkan aliran tunai untuk menutup tahun kewangan 2022 dalam kedudukan lebihan dan memberi nilai yang mampan kepada pemegang saham.”
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022, Takaful Malaysia mencatatkan peningkatan dalam hasil operasi sebanyak RM1,010.8 juta, peningkatan 15% berbanding RM878.0 juta yang dilaporkan pada suku yang sama tahun sebelumnya. Hasil operasi suku tahunan Kumpulan melepasi RM1.0 bilion, terutamanya disebabkan oleh jualan perniagaan takaful am dan keluarga yang lebih tinggi. Takaful Malaysia menjana caruman perolehan kasar sebanyak RM827.2 juta bagi suku dalam tinjauan, meningkat 4% berbanding RM793.0 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Perniagaan takaful am Takaful Malaysia mengekalkan keputusan yang kukuh untuk memberi nilai yang mampan dan menyokong pertumbuhan Kumpulan. Cabang takaful am Takaful Malaysia menjana caruman perolehan kasar sebanyak RM282.9 juta, peningkatan 15% berbanding RM245.1 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. Peningkatan ini adalah didorong oleh kelas perniagaan kebakaran dan motor.
Nor Azman Zainal berkata, “Perniagaan teras yang mantap dalam segmen perniagaan bancatakaful, perbendaharaan, manfaat pekerja dan takaful am terus mengukuhkan kehadiran pasaran kami untuk mengembangkan bahagian pasaran dan kepimpinan kami dalam industri takaful. Memandangkan permintaan yang semakin meningkat untuk produk takaful serta persekitaran pasaran yang rancak, kami memberi tumpuan untuk menembusi pasaran lebih jauh dan memanfaatkan peluang perniagaan.”
“Kami akan memanfaatkan kedudukan pasaran utama kami dalam segmen perniagaan berkaitan kredit dan takaful am, membangunkan perniagaan takaful keluarga penasihat dan tumpuan kepada pengembangan pasaran runcit untuk menyediakan rakyat Malaysia akses yang lebih besar kepada penyelesaian perlindungan yang komprehensif dan mampu milik, daripada produk takaful am hingga keluarga. Hala tuju strategik kami adalah untuk mempelbagaikan portfolio perniagaan kami dan memastikan perniagaan mampan masa hadapan untuk melengkapkan perniagaan teras kami yang sedia ada. Sebagai perintis dalam industri takaful selama lebih tiga dekad, kami akan memfokuskan pembinaan perniagaan yang mampan untuk jangka masa panjang dalam menyampaikan nilai kepada pemegang saham dan memenuhi keperluan perlindungan pelanggan kami,” rumus Nor Azman Zainal.