Takaful Malaysia
Takaful Malaysia Menyantuni Komuniti Setempat Menerusi Program Gotong-Royong Prihatin Ramadan
12 Feb 2026

Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (“Takaful Malaysia” atau “Kumpulan”) telah menganjurkan Program Gotong-Royong Takaful Malaysia Prihatin Ramadan sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan Kumpulan dalam menyokong kesejahteraan komuniti serta memupuk semangat kebersamaan menjelang bulan Ramadan yang mulia.

 

Program ini telah diadakan di Madrasah Raudatul Muttaqin, Sentul dan melibatkan penyertaan wakil Takaful Malaysia bersama sukarelawan masjid serta komuniti setempat dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan.

 

Nor Azman Zainal, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia berkata, “Inisiatif ini mencerminkan usaha Takaful Malaysia untuk menggalakkan nilai kerjasama, tanggungjawab sosial dan semangat saling membantu, selari dengan prinsip Takaful yang menekankan kesejahteraan bersama.”

 

Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk kerja-kerja pembersihan kawasan dalam masjid seperti ruang solat, mimbar dan tempat mengambil wuduk, selain pembersihan kawasan sekitar serta luar masjid bagi memastikan persekitaran yang lebih selesa dan kondusif menjelang Ramadan.

 

Takaful Malaysia turut melaksanakan aktiviti penanaman anak-anak pokok di sekitar kawasan masjid sebagai sebahagian daripada usaha kelestarian alam dan mewujudkan persekitaran yang lebih hijau untuk manfaat komuniti.

"
Inisiatif ini mencerminkan usaha Takaful Malaysia untuk menggalakkan nilai kerjasama, tanggungjawab sosial dan semangat saling membantu, selari dengan prinsip Takaful yang menekankan kesejahteraan bersama.

Program ini turut melibatkan pemberian wang zakat kepada 100 orang anak-anak asnaf, sebagai usaha meringankan beban golongan yang memerlukan serta menyemai nilai keprihatinan dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat.

 

Selain itu, Takaful Malaysia juga telah menyerahkan barangan keperluan untuk kegunaan masjid, termasuk kerusi, meja serta barangan bagi memperindahkan ruang masjid, sebagai sokongan terhadap kemudahan dan keselesaan jemaah.

 

Program Takaful Malaysia Prihatin Ramadan merupakan antara inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Takaful Malaysia yang memberi tumpuan kepada sokongan komuniti, pembangunan sosial serta pengukuhan hubungan bersama masyarakat setempat.

 

Tambah Nor Azman, “Takaful Malaysia akan terus komited dalam melaksanakan program-program kemasyarakatan yang memberi impak positif dan bermakna, khususnya dalam menyantuni keperluan masyarakat menjelang bulan Ramadan.”

Takaful Malaysia Rai Dua Pemenang Hadiah Utama Kempen Mini Worries, Great Prizes
Takaful Malaysia Perkukuh Kedudukan Peneraju Pasaran: Catat Hasil Takaful RM3.78 Bilion dan Rekod Keuntungan Sebelum Zakat dan Cukai RM616 Juta Bagi Tahun 2025
Takaful Malaysia Menyantuni Komuniti Setempat Menerusi Program Gotong-Royong Prihatin Ramadan