Takaful Malaysia telah melancarkan Kaotim, sebuah platform digital dan jenama baharu yang diuruskan oleh Takaful Malaysia. Kaotim adalah satu inisiatif digital bertujuan memberikan pengalaman yang lebih mesra pelanggan dan selamat. Dengan Kaotim, para pelanggan dapat menikmati proses pelangganan dalam talian yang mudah dan pantas. Platform ini menawarkan MediKad, pelan perlindungan perubatan semua-dalam-satu pada harga mampu milik untuk rakyat Malaysia.
Hadir pada majlis pelancaran Kaotim ialah Pengerusi Kumpulan Takaful Malaysia, Dato’ Mohammed Hussein; Pengerusi Takaful Malaysia Am (cabang Takaful Am bagi Takaful Malaysia Keluarga), Ismail Mahbob; Lembaga Pengarah Takaful Malaysia Keluarga dan Takaful Malaysia Am; Badan Penasihat Syariah; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal; Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am, Mohamed Sabri Ramli dan Pengurusan Kanan Takaful Malaysia.
Nor Azman Zainal, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, berkata, “Pelancaran Kaotim hari ini menunjukkan usaha strategik kami mengukuhkan kedudukan dalam bidang insurans dan takaful digital. Kaotim memperkukuhkan komitmen kami untuk memberikan pengalaman yang lebih mesra pelanggan kepada generasi kini. Menerajui inisiatif digital, kami melangkah ke hadapan untuk menjadi peneraju digital dalam industri insurans dan takaful dan memenuhi aspirasi jangka panjang ke arah pendigitalan industri perkhidmatan kewangan, gelombang digital dalam sektor insurans dan takaful yang sejajar dengan aspirasi negara untuk meningkatkan daya saing ekonomi dan dinamisme untuk pertumbuhan ekonomi digital.”
“Pengenalan Kaotim menyokong langkah strategik kami dalam mengukuhkan perniagaan peruncitan, menarik segmen pelanggan baru sekali gus membolehkan transaksi dalam talian yang lebih lancar sesuai dengan gaya hidup terkini. Kami berbangga dengan pencapaian ini. Kami memanfaatkan teknologi digital dalam usaha kami untuk menawarkan pelbagai produk yang lebih mesra pelanggan. Dengan pelancaran Kaotim, kami memperkenalkan MediKad, pelan perlindungan perubatan yang murah dengan penjimatan lebih besar dari serendah RM38 sebulan bagi memenuhi keperluan perlindungan kumpulan umur yang berbeza,” kata Nor Azman Zainal.
MediKad menyediakan kemasukan hospital tanpa tunai ke hospital panel di Malaysia dan tempoh kemasukan hospital tanpa had serta elaun tunai harian untuk kemasukan ke hospital kerajaan. Ditawarkan kepada rakyat Malaysia berumur antara enam (6) dan enam puluh sembilan (69) dengan tempoh perlindungan sehingga lapan puluh lima (85) tahun, pelanggan boleh memilih daripada tiga (3) pelan berbeza dengan pilihan rider, MediBooster, mengikut keperluan perlindungan mereka dan dilindungi serta-merta selepas melengkapkan empat langkah pendaftaran dalam talian dan soal selidik perubatan mudah, tanpa perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Pelanggan boleh melanggan MediKad dalam talian melalui Kaotim, pada bila-bila masa, di mana sahaja dan menyelesaikan transaksi dalam beberapa minit hanya dengan beberapa klik dan terus dilindungi pada hari yang sama. Dengan kos transaksi platform digital yang lebih rendah, kami dapat menawarkan harga yang lebih baik dan pelan takaful yang lebih mudah untuk dilanggan di pasaran. Ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif kami untuk membantu mengurangkan beban kos perubatan yang tinggi yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dengan menawarkan pelan perlindungan perubatan yang mampu milik,” kata Nor Azman Zainal.
“Servis yang mudah diakses adalah sangat penting pada hari ini. Oleh itu, melalui Kaotim, kami lebih dekat dengan pelanggan kami di mana sahaja mereka berada. Pelancaran Kaotim dan pengenalan MediKad hari ini bersempena ulang tahun ke-39 kami, menjadikannya lebih bermakna. Ini adalah sebahagian daripada perjalanan kami dalam usaha mengukuhkan kedudukan kami sebagai institusi kewangan Islam terkemuka dan kekal relevan dalam industri insurans dan takaful,” rumus Nor Azman Zainal.