Takaful Malaysia telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM500,000 untuk Program Skuad Musa’adah Al-Falah bersama Mangsa Banjir Seluruh Negara 2024 menerusi inisiatif Misi Bantuan Banjir yang diselaraskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (“JAKIM”). Sumbangan yang disalurkan melalui Tabung Musa’adah ini merupakan sebahagian daripada usaha Takaful Malaysia dalam memberi bantuan segera kepada komuniti yang terjejas akibat bencana banjir.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal telah menyerahkan cek replika sumbangan Takaful Malaysia berjumlah RM500,000 kepada Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Nor Azman berkata, “Bantuan kewangan yang diberikan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat kami, sejajar dengan usaha dan komitmen Takaful Malaysia terhadap pembangunan dan kesejahteraan komuniti. Kami komited dalam memupuk tanggungjawab kolektif ke arah membantu golongan kurang bernasib baik dan membina masyarakat yang prihatin. Sumbangan ini juga adalah tanda sokongan kami terhadap inisiatif kebajikan yang dijalankan oleh JAKIM melalui Tabung Musa’adah.”
“Kami berharap agar bantuan kewangan yang disalurkan ini dapat meringankan beban mangsa banjir dan membantu mereka meneruskan kehidupan harian selepas bencana, terutamanya golongan yang kurang berkemampuan dan terjejas akibat bencana banjir. Sumbangan yang diberikan ini dapat digunakan sama ada untuk memberi bantuan kewangan harian, menyokong pendidikan dan menyediakan rawatan kesihatan selain diperluas untuk membaik pulih kediaman serta penyediaan alat sokongan untuk individu berkeperluan khas. Besar harapan kami agar dapat meringankan beban mangsa banjir dan membantu mereka bangkit semula selepas bencana ini,” jelas Nor Azman.
“Takaful Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong usaha kemanusiaan dan inisiatif pembangunan sosial melalui program-program tanggungjawab sosial korporat. Kami percaya bahawa sokongan dan kerjasama antara agensi kerajaan, organisasi korporat, dan masyarakat amat penting dalam usaha membina komuniti yang berdaya tahan,” kata Nor Azman.