Takaful Malaysia
Titipan Kasih Harian Metro Bersama Takaful Malaysia Semarakkan Semangat Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2025
 
11 Sep 2025

Program Titipan Kasih Semarak Jiwa Malaysia Takaful Malaysia Bersama Harian Metro sempena Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Setapak Indah di sini dimeriahkan dengan pelbagai pengisian patriotik.

 

Di samping itu, Takaful Malaysia menyalurkan sumbangan wang tunai berjumlah RM37,500 kepada 250 pelajar asnaf sekolah rendah terpilih serta lima unit televisyen pintar kepada lima sekolah rendah di sekitar Kuala Lumpur. Pelajar terpilih adalah asnaf dari SK Setapak Indah, SK Wangsa Maju Seksyen 1, SK Jalan Air Panas, SK Taman Seri Rampai dan SK Seri Bonus.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am, Mohamed Sabri Ramli berkata, “Kami berbesar hati dapat memberi sumbangan sebagai usaha meningkatkan kemudahan pembelajaran yang lebih kondusif dan seiring dengan teknologi pendidikan. Alhamdulillah, bantuan kewangan turut diberikan kepada 250 asnaf di sekolah-sekolah terbabit sebagai tanda solidariti dan keprihatinan sosial kami. Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban pelajar yang memerlukan dan memberi dorongan kepada mereka terus belajar bersungguh-sungguh.”

 

 

Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Keramat, Roslan Hamid dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pengurusan Sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Keramat, Mustafa Kamal Mohamad Nor.

 

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro (TKHM), Husain Jahit; Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek dan Pengarang Berita Kanan Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Ab Aziz.

 

"
Kami berbesar hati dapat memberi sumbangan sebagai usaha meningkatkan kemudahan pembelajaran yang lebih kondusif dan seiring dengan teknologi pendidikan. Alhamdulillah, bantuan kewangan turut diberikan kepada 250 asnaf di sekolah-sekolah terbabit sebagai tanda solidariti dan keprihatinan sosial kami.

 

Mohamed Sabri berkata, seramai 30 orang sukarelawan Takaful Malaysia turut menjalankan aktiviti gotong-royong mengecat dan mencantikkan ruang belajar dan kawasan SK Setapak Indah. “Kehadiran mereka menyerlahkan semangat kebersamaan, muhibah serta nilai khidmat masyarakat yang menjadi sebahagian daripada budaya Takaful Malaysia,” katanya.

 

Sementara itu, Husain berkata, program Titipan Kasih menjadi wadah untuk Harian Metro terus mendekati masyarakat melalui aktiviti kebajikan yang memberi kesan positif kepada komuniti. “Sebagai sebuah media arus perdana yang sentiasa prihatin dengan isu-isu kemasyarakatan, kami di Harian Metro percaya bahawa setiap inisiatif kecil mampu membawa makna yang besar buat masyarakat. Melalui program Titipan Kasih bersama rakan strategik Takaful Malaysia, kami berharap bantuan ini bukan sahaja dapat meringankan beban ibu bapa yang memerlukan, tetapi turut menyemarakkan semangat patriotisme serta rasa cinta kepada negara di kalangan generasi muda,” katanya.

 

 

Majlis turut disemarakkan dengan pelbagai persembahan bertemakan patriotisme termasuk persembahan silat oleh pelajar SK Wangsa Maju Seksyen 1, persembahan angklung oleh pelajar SK Jalan Air Panas serta deklamasi syair oleh guru SK Seri Bonus.

Takaful Malaysia Pacu Pertumbuhan Jangka Panjang dengan Inisiatif Strategik
Titipan Kasih Harian Metro Bersama Takaful Malaysia Semarakkan Semangat Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2025
Takaful Malaysia Catat Keputusan Kewangan Berdaya Tahan Bagi Separuh Pertama 2025