Takaful Malaysia mencatatkan keputusan kewangan yang kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024. Kumpulan merekodkan keuntungan selepas zakat dan cukai sebanyak RM378.1 juta pada tahun kewangan dalam tinjauan, melonjak sebanyak 9% daripada RM347.1 juta yang dicatatkan pada tahun 2023. Peningkatan keuntungan Kumpulan didorong oleh kenaikan dalam perkhidmatan takaful. Pendapatan Kumpulan pada tahun kewangan dalam tinjauan meningkat sebanyak 22% kepada RM3.58 bilion berbanding RM2.94 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya. Jumlah caruman dan sumbangan yang lebih tinggi daripada perniagaan takaful keluarga dan takaful am, serta peningkatan dalam perlindungan bagi kedua-dua perniagaan menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan Kumpulan.
Nor Azman Zainal, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, berkata, “Perniagaan takaful keluarga kami mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.99 bilion pada tahun 2024, meningkat sebanyak 28% daripada RM1.55 bilion pada tahun 2023. Peningkatan ini didorong oleh pendapatan yang lebih tinggi dalam perkhidmatan takaful. Perniagaan takaful am kami pula mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.46 bilion untuk tahun kewangan dalam tinjauan, meningkat sebanyak 14% lebih tinggi berbanding RM1.28 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya. Peningkatan pendapatan perniagaan takaful am kami disokong oleh jumlah sumbangan yang lebih tinggi daripada kelas perniagaan kebakaran dan motor.”
“Kami mencatat prestasi yang membanggakan pada 2024 melalui portfolio perniagaan teras kami dalam bankatakaful, perbendaharaan, manfaat pekerja dan takaful am. Platform dan jenama digital kami, Kaotim, yang menawarkan rangkaian perlindungan komprehensif, berpatutan serta mudah diakses, telah memberikan hasil yang positif. Sejajar dengan permintaan pasaran yang semakin berkembang, kami terus memperluaskan kedudukan kami dalam pasaran runcit dengan menumpukan kepada penyelesaian perlindungan yang komprehensif dan berpatutan kepada rakyat Malaysia. Menyedari kepentingan perlindungan mampu milik dan pengukuhan kewangan para pelanggan, kami komited untuk menawarkan produk dan perlindungan yang memenuhi keperluan mereka,” kata Nor Azman Zainal.
Selaras dengan komitmen Takaful Malaysia terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (“ESG”), Kumpulan telah secara aktif melaksanakan pelbagai inisiatif kemampanan korporat pada tahun 2024, termasuk pengurusan risiko iklim, amalan penjagaan alam sekitar, pelaburan yang bertanggungjawab, dan program pemerkasaan komuniti. Inisiatif ini mencerminkan tumpuan strategik Kumpulan terhadap pemeliharaan alam sekitar, kesan sosial yang positif dan amalan tadbir urus. Sebagai sebahagian daripada inisiatif kelestarian, Kumpulan akan memperkenalkan sebuah program kepimpinan belia, ‘Takaful 100 Youth Leadership Program’ yang mengetengahkan aspirasi dan peranan penting Kumpulan demi memastikan kelangsungan kepimpinan masa depan negara.
“Melangkah ke hadapan, kami akan kekal berwaspada dalam mengekalkan pertumbuhan perniagaan bagi mencapai keuntungan yang mampan. Hala tuju strategik kami adalah untuk mempelbagaikan portfolio perniagaan dan memacu pertumbuhan jangka panjang serta melengkapkan perniagaan teras kami, sekaligus memberikan pulangan yang lebih maksimum kepada para pemegang kepentingan kami. Menjadi keutamaan kami untuk memacu agenda transformasi digital, dengan penekanan khusus pada pelaburan dalam teknologi dan inovasi bagi meningkatkan kecekapan operasi, pengalaman pelanggan, dan mengekalkan daya saing dalam industri. Kami berhasrat membina legasi yang kukuh dan berdaya tahan untuk generasi akan datang, serta memastikan Takaful Malaysia kekal sebagai institusi kewangan Islam yang dipercayai,” kata Nor Azman Zainal.