Takaful Malaysia
Pendapatan 9 Bulan Takaful Malaysia Melonjak 23% kepada RM2.66 Bilion
 
29 Nov 2024

Takaful Malaysia terus mencatatkan prestasi yang cemerlang dan menunjukkan pertumbuhan yang kukuh untuk sembilan (9) bulan pertama berakhir 30 September 2024. Pendapatan Kumpulan itu melonjak kepada RM2.66 bilion, meningkat sebanyak 23% berbanding dengan RM2.17 bilion yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lepas. Pertumbuhan yang ketara ini didorong oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada perniagaan takaful keluarga dan takaful am, serta peningkatan dalam perlindungan bagi kedua-dua perniagaan takaful.

 

Nor Azman Zainal, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, berkata, “Kami terus mengekalkan keputusan kewangan yang kukuh dalam sembilan bulan pertama tahun ini. Kami mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM435.2 juta untuk tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 30 September 2024, meningkat sebanyak 11% berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya sebanyak RM392.3 juta. Faktor utama pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan perlindungan takaful keluarga yang lebih tinggi dan peningkatan keuntungan daripada perniagaan takaful am kami.”

 

Keuntungan Takaful Malaysia selepas zakat dan cukai untuk sembilan bulan berakhir pada 30 September 2024 meningkat kepada RM296.5 juta daripada RM276.8 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Kumpulan juga mengisytiharkan dividen interim sebanyak 17 sen sesaham pada 29 November 2024, berjumlah RM142.3 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2024, peningkatan sebanyak 21% berbanding 14 sen yang berjumlah RM117.2 juta pada tahun 2023.

 

“Kami komited untuk mengukuhkan kedudukan kami dalam perniagaan bankatakaful, perbendaharaan, manfaat pekerja dan takaful am, disamping memperluaskan perniagaan takaful am kami secara strategik melangkaui segmen motor. Platform dan jenama digital kami, Kaotim, yang menawarkan rangkaian perlindungan komprehensif, berpatutan serta mudah diakses, telah diterima baik dan memberikan hasil yang positif. Kami juga berhasrat untuk mencapai matlamat perniagaan jangka panjang dan berterusan dengan mempelbagaikan portfolio kami dalam pasaran runcit. Kami sentiasa berusaha untuk mencipta nilai lestari secara menyeluruh dalam setiap portfolio perniagaan teras kami, sekaligus mengintegrasikan inisiatif pertumbuhan dengan tanggungjawab alam sekitar untuk memberikan nilai yang konsisten kepada para pemegang kepentingan kami. Kami kekal teguh dalam memajukan agenda digital kami yang menjadi elemen penting untuk memastikan kemampanan masa depan perniagaan kami,” kata Nor Azman.

 

Bersempena dengan ulang tahun ke-40 Takaful Malaysia sebagai perintis institusi kewangan Islam dalam industri insurans dan takaful di Malaysia, Kumpulan telah menganjurkan majlis makan malam gala untuk meraikan pencapaian Takaful Malaysia dalam industri. Majlis makan malam gala itu dihadiri oleh ahli lembaga pengarah, tokoh-tokoh terkemuka dalam industri kewangan Islam, pengurusan kanan terdahulu dan sekarang serta warga kerja Takaful Malaysia.

"
Kami mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM435.2 juta untuk tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 30 September 2024, meningkat sebanyak 11% berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya sebanyak RM392.3 juta.

Dalam ucapan alu-aluan, Nor Azman berkata, “Sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang progresif, berdaya tahan dan berdaya maju, Takaful Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan yang kukuh dan konsisten sejak penubuhannya empat puluh (40) tahun lalu. Kami kekal berdaya saing di tengah-tengah persaingan sengit melalui rangkaian produk dan perkhidmatan yang komprehensif dan berpatutan, sekaligus mencatat pertumbuhan tahunan yang teguh dan membanggakan. Sepanjang empat dekad yang lalu, Takaful Malaysia telah mencapai pelbagai kejayaan dan mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ulang tahun ke-40 ini adalah satu pencapaian untuk diraikan dan simbol perjalanan yang mencabar dan kejayaan kita bersama.”

 

Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia, Dato’ Mohd Fadzli Yusof, telah diberi penghormatan dengan anugerah pencapaian seumur hidup atas peranan penting beliau dalam membangunkan syarikat sejak ditubuhkan pada 1984, serta kepimpinan dan sumbangan beliau yang memainkan peranan penting dalam membentuk Takaful Malaysia dan industri takaful.

 

Semasa sambutan Ulang Tahun ke-40, Nor Azman turut mengumumkan bahawa Kumpulan akan memperkenalkan sebuah program kepimpinan belia, ‘Takaful 100 Youth Leadership Program’ sebagai sebahagian daripada inisiatif kelestarian dan aspirasi Takaful Malaysia untuk melahirkan generasi pemimpin muda yang berwawasan, mempunyai daya tahan dan nilai kepimpinan yang tinggi demi memastikan kelangsungan masa depan negara.

 

“Melangkah ke hadapan, kami komited dengan agenda digital kami dan memberikan tumpuan kepada pelaburan dalam teknologi serta inovasi digital untuk memastikan kemampanan masa depan perniagaan dan terus kekal berdaya saing dalam industri insurans dan takaful, seiring dengan kehendak pasaran semasa. Bersama kita terus membina legasi yang mampan dan memastikan Takaful Malaysia kekal relevan dan unggul untuk generasi akan datang. Pencapaian ini adalah satu penghargaan terhadap kejayaan masa lalu dan kini serta seruan untuk terus mencapai kecemerlangan, berinovasi, dan komitmen teguh terhadap nilai teras kami,” jelas Nor Azman.

Takaful Malaysia Catat Prestasi Suku Pertama Tertinggi dengan Keuntungan Sebelum Zakat dan Cukai RM158.2 Juta Disokong Pertumbuhan Perniagaan yang Berdaya Tahan
MTA Lancar Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2025 dan Laporan Kemampanan untuk Takaful
Takaful Malaysia Rai Dua Pemenang Hadiah Utama Kempen Mini Worries, Great Prizes