Takaful Malaysia mencatatkan prestasi yang berdaya tahan bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir pada 30 Jun 2025 (1H TK2025), dengan pendapatan meningkat sebanyak 9% kepada RM1.85 bilion, naik RM159.2 juta daripada RM1.69 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu. Pertumbuhan ini didorong oleh momentum yang kukuh dalam segmen takaful keluarga serta peningkatan berterusan perniagaan kredit.
Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, Kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM287.0 juta, lebih tinggi sedikit berbanding RM286.9 juta yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.
“Pencapaian konsisten kami, dalam persekitaran pasaran yang mencabar dan kompetitif, mencerminkan kekuatan inisiatif strategik kami,” kata Nor Azman Zainal, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia. “Kami kekal fokus terhadap pertumbuhan mampan, meningkatkan nilai untuk pelanggan, dan mengukuhkan kedudukan kami dalam industri takaful.”
Perniagaan takaful keluarga menjana pendapatan sebanyak RM1.09 bilion bagi separuh pertama tahun 2025, meningkat 18% berbanding RM929.2 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya. Peningkatan ini didorong oleh jumlah caruman yang lebih tinggi untuk perlindungan takaful sebanyak RM92.0 juta dan pelepasan caruman yang lebih tinggi sebanyak RM49.2 juta. Perniagaan takaful am pula melaporkan pendapatan sebanyak RM694.6 juta, sedikit rendah berbanding RM716.7 juta pada tahun 2024, berikutan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen takaful kebakaran.
“Prestasi kami dipacu oleh portfolio teras yang merangkumi bankatakaful, perbendaharaan, faedah pekerja dan takaful am. Permintaan yang konsisten, tahap kesedaran yang semakin tinggi terhadap perlindungan kewangan, serta peningkatan penggunaan digital telah membantu kami menangani kesan cabaran pasaran,” ujar Nor Azman. “Kaotim, platform dan jenama digital kami, terus mencatat keputusan positif dan memperluaskan capaian dengan menawarkan pelan perlindungan dalam talian yang mampu milik. Kami sedang mempergiatkan usaha dalam segmen runcit dengan menyediakan akses yang lebih luas kepada penyelesaian perlindungan patuh Syariah yang menyeluruh serta berdaya saing.”
Takaful Malaysia komited untuk memperkukuh agenda kelestariannya dengan memberi tumpuan kepada keutamaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk mempertingkat daya ketahanan terhadap risiko iklim, mengamalkan pendekatan mesra alam dalam setiap aspek operasi, menggalakkan pelaburan yang beretika dan bertanggungjawab serta memperkasa komuniti melalui pelaksanaan program pembangunan yang inklusif.
“Berlandaskan teras perniagaan kami yang kukuh, kami berada pada kedudukan yang stabil untuk mengharungi baki tahun ini dengan prestasi yang memberangsangkan,” kata Nor Azman. “Inovasi berteraskan pelanggan, pemerkasaan digital dan integrasi ESG akan terus menjadi tonggak strategi kami, sekali gus menyampaikan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan di samping menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi Malaysia serta pemeliharaan alam sekitar.”